Tuesday, July 14, 2009

PRK Manek Urai: Membangun Bersama Islam lawan 1Malaysia

Haji Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif

Pengenalan

Penganalisis politik khususnya dari luar Malaysia senantiasa merujuk bahawa hubungan antara PAS dan Umno adalah merupakan satu hubungan yang bersifat permusuhan.

Maka lahirlah istilah seperti ‘musuh tradisi’ (traditional enemies) apabila merujuk kepada hubungan politik antara PAS dan Umno.

Dari sudut pilihan raya ia amat difahami kenapa hubungan tersebut terbina. Ini adalah disebabkan kedua-dua parti milik orang Melayu ini bertarung untuk mendapatkan undi dari kelompok etnik yang sama iaitu etnik Melayu.

Menguasai pengundi Melayu juga bermakna menguasai pentas utama politik Malaysia berdasarkan taburan kerusi pilihan raya (khususnya Parlimen) di mana pengundi Melayu merupakan pengundi majoriti.

Ketidaksediaan Umno untuk tidak bertanding di pilihan raya kecil Manek Urai dalam kehangatan perbincangan mengenai ‘kerajaan perpaduan’ memperlihatkan betapa Umno bersedia untuk memain peranan aktif bagi menjayakan istilah �musuh tradisi� sebagaimana yang dirujuk di atas.

Tiap-tiap kali diadakan pilihan raya (sama ada umum atau kecil), Umno/BN bukan sahaja menggunakan sumber parti malah turut menggunakan sumber kerajaan. Sumber kerajaan yang digunakan ialah sumber-sumber yang ada kaitan langsung dengan kehidupan pengundi.

Misalnya, dalam kes Manek Urai yang merupakan satu kawasan pilihan raya DUN yang boleh diklasifikasikan sebagai luar bandar dalam sektor Pertanian sekaligus dilihat sebagai kurang membangun, maka Kementerian yang digunakan ialah seperti Pelajaran, Luar Bandar dan Pertanian.

Agensi-agensi berkaitan pembangunan tanah seperti RISDA dan KESEDAR turut digunakan bagi meraih sokongan. Di samping penggunaan kementerian dan agensi yang berkaitan, Umno/BN turut mengguna instrumen koersif (menekan) yang sah milik kerajaan Pusat (a legitimate coercive instrument of the state) seperti polis.

Apa yang menarik dalam kes Manek Urai yang berbeza dengan pilihan raya-pilihan raya kecil sebelum ini ialah hakikat bahawa Umno/BN turut menggunakan tentera khususnya dari Bahagian Risikan Keselamatan.

Dikatakan bahawa pihak tentera yang berpakaian biasa (dikenali sebagai Military Intelligent Officers atau MIO�s) adalah sama ramai dengan pihak risikan polis yang berpakaian biasa (yang dikenali sebagai Special Branch atau SB) sedang merayap ke seluruh pelusuk DUN Manek Urai bagi mempasti kemenangan berpihak kepada Umno/BN.

Ini tidak termasuk kehadiran 3,000 polis yang berpakaian seragam yang ditempatkan di tiga markas besar polis iaitu di Laloh, Chuchuh Puteri dan Manek Urai Baru. Kehadiran fenomena ini nampaknya semacam menyanggah prinsip 1Malaysia yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kerana apa yang diutamakan bukan rakyat tetapi pihak keselamatan!! Lebih memalukan ia memberi imej bahawa Malaysia adalah sebuah �negara polis�(a police state).

Mempertaruh gagasan besar seperti 1Malaysia di sebuah pilihan raya kecil seperti Manek Urai mempunyai risiko yang tinggi. Papan-papan tanda gergasi dengan penuh gah mempamerkan pengaplikasian konsep 1Malaysia di sepanjang jalan raya di Manek Urai.

Papan-papan tanda tersebut memuat perkataan ‘Rakyat didahulukan, Manek Urai diutamakan’ sertakan dilengkapkan dengan gambar-gambar Najib, Muhyiddin dan Mustapha. Sekiranya ‘pembangunan’ adalah modal terpenting Umno/BN dalam pilihan raya kecil ini, ia bukanlah merupakan strategi yang terbaik.

Walauapa pun, bagi Umno/BN inilah satu-satunya modal untuk pilihan raya kecil ini. Sekiranya Islam Hadhari tumpas di tangan Membangun Bersama Islam, lagi mudahlah 1Malaysia tersungkur di pilihan raya kecil Manek Urai.

Ini adalah disebabkan Kelantan secara umum dan Manek Urai secara khususnya menjadikan nilai-nilai Islam sebagai sesuatu yang sentral dalam kehidupan mereka. Di lihat dari perspektif Islam, 1Malaysia adalah lebih sekular berbanding Islam Hadhari tajaan Pak Lah yang telah pun terkubur tanpa batu nesan.

Di antara tujuh prinsip penting 1Malaysia tajaan Najib, tidak terdapat satu prinsip pun yang merujuk kepada nilai-nilai Islam. Masyarakat Manek Urai adalah masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam. Ini dapat dilihat dari hakikat bahawa 90% lebih mesjid di sekitar Manek Urai adalah dibawah pengaruh PAS. Ini tidak termasuk surau atau balaisah yang lebih kecil dan lebih banyak.

Antara Nafsu dan Akal


Professor Kessler, seorang ahli sosiologi politik yang terkenal dari Australia telah mengkaji secara mendalam politik Kelantan dengan menggunakan kaedah sejarah dan antropologi sosial. Kajian beliau dibuat dalam tahun 1960an dengan menjadikan Jelawat, Bachok sebagai fokus kajian beliau.

Hasil kajian ini telah dikemukakan sebagai tesis PhD beliau. Akhirnya tesis ini diterbitkan sebagai buku pada tahun 1978 dengan judul Islam in a Malay State: Kelantan, 1838-1969. Dalam menilai hubungan PAS dan Umno di Kelantan, salah satu hujah penting yang dikemukakan oleh Kessler ialah secara intisarinya boleh dilihat sebagai satu pertembungan antara ‘nafsu’ dan ‘akal’.

Umno dilihat sebagai mewakili dimensi �nafsu� dengan menggunakan kuasa dan kebendaan secara yang berleluasa sebagai pendekatan bagi meraih sokongan politik. Sebaliknya PAS menggunakan ‘akal’ yang lebih rasional dengan menjadikan Islam sebagai teras budaya dan pendekatan politiknya.

Pada tahun 1978, dengan menggunakan pendekatan kuasa darurat yang tidak demokratik, Umno telah merampas kuasa dari PAS. Bermula 1990, PAS bangkit semula dengan membawa obor ‘kepimpinan ulama’ dan pendekatan ini bertahan sehinggalah ke hari ini.

Betapa berkesan dan mendalamnya pendekatan kepimpinan ulama, terutamanya melalui proses tarbiyah, sehingga masyarakat Kelantan (termasuk masyarakat Manek Urai) telah menerima Islam sebagai sesuatu yang sebati dengan pelbagai dimensi kehidupan mereka.

Hakikat ini dihurai secara baik oleh penulis seperti Farish Noor dalam buku beliau ‘Islam Embedded’.

Sehingga kini Umno masih menggunakan pendekatan ‘nafsu’ bagi meraih kuasa politik. Maka tidak hairanlah sekiranya timbul persoalan rasuah dan politik wang dalam pemilihan jawatan-jawatan dalam Umno.

Masalah yang sama timbul dalam pentadbiran negara sekiranya terdapat pengaruh Umno. Disebabkan Umno begitu lama mendominasi pemerintahan negara, budaya ‘nafsu’ telah semacam diinstitusikan dalam sistem politik dan pentadbiran negara tajaan Umno/BN.

Dalam hal ini, cakap-cakap untuk menghapuskan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan politik wang hanya manis dibibir tetapi busuk dihati. Ini bermakna dan berpegang kepada formula yang amat mudah iaitu apabila terhapusnya rasuah, politik wang dan penyalahgunaan kuasa juga bermakna secara serentak(simultaneously) terkuburnya Umno/BN dari persada politik tanah air kerana elemen-elemen yang menyuburkan Umno/BN (rasuah, penyalahgunaan kuasa dan politik wang) tidak lagi berfungsi.

Dalam kes pilihan raya kecil Manek Urai, pendekatan berteraskan ‘nafsu’ masih dilihat oleh Umno/BN sebagai relevan. Telah dirujuk sebelum ini kehadiran polis dan tentera (berpakaian seragam dan biasa) adalah membenarkan pendekatan ini.

Difahamkan besar kemungkinan Umno/BN akan menggunakan pendekatan ‘nafsu’ berikut bagi mempastikan mereka menang dalam pilihan raya kecil Manek Urai ini.

Pertama, kesediaan Tok Pa membayar pengundi luar Kelantan untuk balik mengundi pada 14 Julai 2009 dengan nilai bayaran dua kali ganda berbanding pilihan raya umum 2008 yang lepas; kedua, kesediaan Umno/BN untuk menempatkan dua buah bas ‘anak angkat’ dewasa bagi setiap UPU(ada sembilan UPU semuanya) dengan bayaran ‘cagaran’ permulaan kepada tuan rumah sebanyak RM500 dan RM50 untuk hari-hari seterusnya; ketiga, kesediaan Umno/BN untuk membelanja sehingga RM10,000 bagi setiap rumah/keluarga ‘atas pagar’ yang dikenalpasti boleh memihak kepada Umno/BN.

Ini hanya sekadar beberapa contoh. Banyak lagi pendekatan berteraskan ‘nafsu’ yang akan digunakan oleh Umno/BN dalam pilihan raya kecil Manek Urai ini. Satu perkara yang perlu difahami oleh Umno/BN ialah hakikat bahawa pengundi Manek Urai tidak boleh dibeli secara sewenang-wenangnya.

Mereka juga mempunyai maruah. Orang putih kata: money cannot buy everything. Sebahagian besar dari penduduk Manek Urai adalah terdiri dari mereka yang gedebe terhasil dari perjuangan mereka sebagai peneroka printis dan sifat gedebe ini dipeturunkan dari generasi ke generasi.

Orang-orang ‘gedebe’ mempunyai autonomi yang tersendiri dan mereka biasanya memihak kepada kebenaran.

Kesimpulan: Pertembungan antara Thalut dan Jalut

Pertembungan antara kebenaran (al-haq) dan kepalsuan (al-bathil) adalah sesuatu yang lumrah dalam kehidupan manusia sebagai satu bentuk percobaan bagi mereka yang beriman kepada Allah.

Syaitan dan nafsu biasanya memihak kepada al-bathil dan malaikat dan akal yang dibimbing olrh wahyu akan memihak kepada al-haq. Salah satu contoh pertembungan antara al-haq dan al-bathil telah dirakam oleh al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 247 hinggia 252.

Ia melibatkan pertembungan antara Thalut dan Jalut semasa kehidupan Nabi Allah Daud (AS). Jalut adalah seorang raja yang zalim berbanding Thalut seorang raja yang adil. Apabila berlakunya peperangan antara dua kumpulan ini Nabi Allah Daud(AS) memihak kepada Thalut yang adil dan dengan bantuan Nabi Allah Daud (AS) Thalut memenangi peperangan ini sungguhpun tentera Jalut jauh lebih ramai dan perkasa berbanding tentera Thalut.

Terdapat dua petunjuuk kenapa tentera Thalut yang lebih sedikit bilangan mampu mengalahkan tentera Jalut yang lebih ramai (katanya tiga kali ganda).

Pertama, tentera Thalut dengan bantuan Nabi Allah Daud (AS), telah berjuang dengan penuh keikhlasan dengan mengharap pertolongan dan keredhaan Allah.

Kedua, Thalut memerintah tenteranya supaya berhati-hati apabila menyeberangi sungai dan jangan minum air sungai terlalu banyak kerana ia boleh melesukan daya perjuangan.

Pengajarannya ialah jangan jadikan kaedah atau pendekatan nafsu/kebendaan sebagai kaedah terpenting perjuangan. Pejuang-pejuang Islam perlu memberi keutamaan kepada keikhlasan dalam perjuangan dalam mencari keredhaan Allah.

Kalau ini dapat dilaksanakan, insya-Allah, Manek Urai akan menjadi milik PAS.

(Penulis adalah Pengarah,Pusat Penyelidikan PAS Pusat)

No comments: